Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil tindakan tatatertib termasuk memindahkan beberapa pegawai dan anggota yang berdepan dengan masalah salah laku.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau serius terhadap isu salah laku membabitkan pegawai dan anggota bukan saja berkaitan aktiviti perjudian, tetapi juga meliputi rasuah serta peras ugut terutama membabitkan barisan hadapan seperti trafik dan jenayah.

“Tindakan tatatertib dan pindah bukan saja membabitkan ketua polis daerah, malah ketua polis negeri serta ketua jabatan siasatan jenayah negeri jika didapati terbabit dengan salah laku atau gagal membendung kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, seramai 926 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan oleh Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

“Amat mendukacitakan apabila melihat kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merekodkan seramai 149 warga PDRM ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah, tahun lalu.

“Pada 2016, seramai 179 warga PDRM ditahan oleh SPRM. Walaupun jumlah ini menunjukkan penurunan, namun persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan PDRM,” katanya.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan tindakan pemantauan terhadap pegawai dan anggota dengan membabitkan JIPS dalam setiap operasi serta serbuan dilakukan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dengan salah laku dalam usaha membendung kegiatan jenayah,” katanya.

Berita berkaitan

Bersiap sedia Tuan OCPD...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:21 AM
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memeriksa barisan pada Perhimpunan bulanan di Bukit Aman. Foto NSTP/ASWADI ALIAS
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memeriksa barisan pada Perhimpunan bulanan di Bukit Aman. Foto NSTP/ASWADI ALIAS