MASUENAH menjaga suaminya, Abdul Ghani yang menderita kanser usus di rumahnya di Padang Lebai Abas, Kedai Piah.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Saya sedih melihat suami yang dulunya sihat, tetapi kini terlantar di atas tilam akibat kanser usus tahap empat,” luah [email protected] Yaacob, 56, isteri kepada Abdul Ghani Che Harun, 58, yang menderita penyakit itu sejak Jun lalu.

Menurutnya, suaminya disahkan menghidap penyakit itu oleh doktor pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, selepas mengalami sakit perut berpanjangan, selain sukar membuang air besar.

Katanya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai tukang sapu di sekolah kerana Abdul Ghani yang perlukan penjagaan dan perhatian penuh.

“Sejak sah menghidap kanser, saya terpaksa berulang-alik ke HRPZ II untuk menemani suami menjalani rawatan kimoterapi.

“Bagaimanapun, ketika kimoterapi ketiga minggu lalu, kesihatannya semakin merosot dan dia tidak mampu bergerak hingga doktor menasihatkan supaya menghentikan rawatan itu sementara waktu.

“Saya akur apatah lagi sudah tidak sanggup melihat suami yang terlantar dan langsung tidak berupaya.

“Dia hanya bergantung kepada saya dan orang keliling untuk bangun atau mengurus diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lebai Abas, Kedai Piah, di sini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, pendapatan mereka sekeluarga terjejas disebabkan suami tidak lagi bekerja sebagai tukang rumah dan dia sendiri terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Abdul Ghani.

Katanya, pendapatan suaminya sebelum ini boleh cecah RM300 hingga RM400 seminggu dan pekerjaan itu tidak dilakukannya sejak Oktober tahun lalu disebabkan masalah kesihatan.

“Sekarang, saya dan suami hilang punca pendapatan. Semua wang simpanan kami habis digunakan untuk perubatan hingga kami terpaksa berhutang.

“Anak sulung (Nurul Akma Wani) yang berusia 24 tahun baru saja bekerja sebagai guru ganti di Pulau Pinang dan anak bongsu (Mohammad Muhammadi) berusia 18 tahun akan menyambung pengajian di universiti awam pada 25 Ogos.

“Malangnya kerana hingga kini segala persiapan belum dibuat,” katanya.

Masuenah berkata, setiap bulan mereka perlu membelanjakan lebih RM500 untuk membeli susu khas selain bil hospital, kos suaminya mendapatkan rawatan di hospital dan lain-lain.

Katanya, dia ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi hingga kini belum mendapat maklum balas.

“Saya harap dapat bantuan untuk meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:38 AM