KEADAAN di luar rumah mangsa (gambar kecil) yang ditetak bapa kandungnya di Flet Puchong Permai, Puchong, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli


“TIDAK pernah dengar ibu bapa mangsa bergaduh, malah kanak-kanak itu pula sentiasa kelihatan riang.”

Demikian reaksi jiran kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditetak sehingga mati oleh bapanya dalam kejadian di Flet Puchong Permai, Puchong, semalam.

S Letchumy, 68, berkata kanak-kanak itu tidak pernah menunjukkan sebarang kesan didera kerana dilihat sentiasa ceria ketika bermain bersama cucunya.

“Mereka sudah menetap di sini sejak setahun lalu, dan tidak pernah dengar mereka bertengkar, saya berdosa jika tipu.

“Saya duduk di sebelah rumah mereka, kadang-kadang kanak-kanak itu datang ke rumah saya dan bermain bersama cucu.

“Walaupun budak itu kurang bercakap, namun dia sentiasa nampak ceria seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selain itu, Letchumy berkata, bapa kanak-kanak itu disifatkan sebagai seorang lelaki yang peramah dan mesra dengan penduduk setempat.

“Mengikut pengetahuan saya, lelaki itu bertugas sebagai anggota sebuah agensi keselamatan pada waktu malam, manakala ibu mangsa bekerja di pusat beli-belah berdekatan dari pagi hingga lewat petang.

“Kadang-kadang terserempak dengan ayah kanak-kanak itu, kami berbual macam biasa.

“Saya pun selalu dengar perkara yang baik sahaja membabitkan lelaki itu sebelum ini, tidak pernah ada kes buruk seperti pergaduhan dan perbuatan agresif,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran G Raja, 66, mendakwa mangsa kelihatan lebih rapat dengan ibunya berbanding bapanya.

“Saya selalu nampak kanak-kanak itu dengan ibunya. Kalau ibunya tidak bekerja, dia akan mengikut ke mana sahaja, termasuk ketika menyidai baju di hadapan rumah,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.45 petang semalam, suspek berusia 35 tahun itu dikatakan menetak anaknya yang sedang tidur.

Suspek kemudian ditahan di rumahnya dan mendakwa membunuh anaknya selepas mendengar bisikan suara ghaib.

Selain itu, suspek juga dikatakan peminum tegar ketum dan didapati positif dadah jenis syabu.

Berita berkaitan

Bapa tetak anak tidur hingga maut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 1:11 PM