ANGGOTA APM membantu menghantar mangsa yang cedera ke Hospital Baling bagi menerima rawatan. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my

WANITA cedera di muka dan tangan apabila terjatuh dari motosikal selepas diterajang dua lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian ragut berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Baling, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, 24, yang bekerja sebagai jurujual dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Batu 42, Pulai.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 10.13 pagi dan bergerak ke lokasi untuk memberi bantuan.

Katanya, pihaknya yang tiba di lokasi mendapati mangsa cedera di muka dan tangan kerana terjatuh selepas mendakwa diragut.

“Mangsa memaklumkan dua lelaki bermotosikal menarik beg yang disandang di bahunya sebelum menendang motosikalnya.

“Dua lelaki terbabit berjaya melarikan beg mangsa dan kami memberi bantuan awal sebelum menghantarnya ke Hospital Baling untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof yang dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima laporan daripada mangsa atau keluarganya.

“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 4:37 PM