(Gambar fail) Sanjeevan semasa membuat laporan polis yang mendakwa diekori dua lelaki yang disyaki cuba menculiknya di rumah di Kajang Country Heights, Selangor bulan lalu.
Safeek Affendy Razali


PENGERUSI Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk Seri Sanjeevan Ramakrisnan, dihukum penjara dan denda atas kesalahan melakukan pemerasan.

Sanjeevan, 34, sebelum ini dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh pada Ahad lalu, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan peras ugut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi lelaki Ramesh Balakrishnan,40, pada 1 Julai 2013 pada jam 9.45 malam dengan mendatangi sebuah kedai kafe siber di No 25-27-29, tingkat atas, Jalan Dagangan 8, Pusat Dagangan Triang, Pahang, dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis Bukit Aman kepada penjaga premis.

Sanjeevan dan Ramesh dilaporkan meminta wang perlindungan sebanyak RM10,000 untuk setiap bulan sekiranya pemilik kafe siber itu tidak mahu diambil tindakan atas kesalahan menjalankan aktiviti mesin judi atas talian.

Penjaga itu bagaimanapun memberitahu hanya mampu membayar wang sebanyak RM1,500 sebelum bertindak membuat laporan polis.

Selain hukuman penjara selama tiga bulan bermula hari ini Sanjeevan juga turut didenda RM7,000 manakala rakan jenayahnya Ramesh yang mengaku bersalah dijatuhkan hukuman penjara selama 14 hari dan denda sebanyak RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:03 PM