Kesan kebiruan pada murid yang mendakwa ditampar gurunya.
Fazrik Kamarudin

MURID Tahun Dua cedera di bahagian tengkuk kanannya dikatakan akibat dipukul seorang cikgu di sekolahnya.

Menurut sumber, kecederaan itu disedari oleh ibu mangsa ketika mengambil mangsa di rumah neneknya di Kampung Padang, Hulu Langat, petang semalam.

“Ketika menjemput mangsa, kira-kira pada jam 4 petang, ibunya terkejut melihat kesan lebam yang teruk di bahagian tengkuk kanan anaknya.

“Apabila ditanyakan mengenai kecederaan itu, mangsa berkata dia ditampar salah seorang gurunya pada Jumaat lalu, malah turut memberitahu nama cikgu yang terbabit.

“Ibunya yang berang terus ke pejabat guru besar dan memaklumkan kejadian berkenaan sebelum hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisoner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:34 PM