Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


SEBANYAK 82 premis di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru diperiksa dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama empat lagi agensi, malam tadi.

Empat agensi lain yang turut terbabit ialah Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bahagian Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membabitkan keseluruhan 228 anggota.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, dalam pemeriksaan 8.30 hingga 11.30 malam itu, pihak KPDNHEP mengesan 13 premis melakukan kesalahan tidak meletakkan label tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, tiga kesalahan disyaki menjual barang tiruan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 turut dikesan selain satu kesalahan alat timbang sukat yang tidak ditentu sahkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Dalam pemeriksaan ini juga, Jabatan Imigresen menahan empat lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 35 tahun membabitkan seorang warga negara Myanmar, seorang India dan dua lagi dari Bangladesh kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"SSM pula mengesan 20 kesalahan mengikut Akta Syarikat 2016, manakala Bahagian Penguat kuasa Farmasi mengesan sebanyak 16 kes mengikut Akta Kawalan Dadah 1952," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi pemeriksaan bersepadu, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Johor, Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz.

Ramakrishnan berkata, objektif utama pemeriksaan adalah untuk memastikan keberadaan anggota penguat kuasa di kawasan tumpuan umum yang menjual dan membekalkan barangan keperluan harian kepada pengguna.

"Melalui pemantauan dan pemeriksaan berterusan ini diharap dapat mewujudkan lebih banyak premis perniagaan yang menjalankan operasi secara beretika selaras dengan peraturan dan perundangan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 8:32 AM
S Ramakrishnan (dua kiri) melihat label tanda harga pada ikan yang dijual dalam pemeriksaan bersepadu di Pasar Borong Pandan. FOTO Fahmi Mohd Yusof