MODEL Hospital Pendang. Foto ARKIB NSTP
Petah Wazzan Iskandar


PENANGGUHAN pembinaan Hospital Pendang yang dijangka mempunyai perkhidmatan separa pakar disebabkan beberapa isu teknikal membabitkan kelulusan bersyarat ke atas syarikat pemaju.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata, penangguhan terbabit tidak mempunyai kaitan dengan pembatalan projek 23 hospital dan klinik yang diumumkan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini

Katanya, pembinaan Hospital Pendang tetap diteruskan, namun tertangguh akibat beberapa faktor teknikal dan permintaan syarikat Seri Libanan PPC JV Sdn Bhd yang sudah menerima surat setuju terima pada 17 April lalu .

“Penangguhan timbul membabitkan isu kebenaran merancang di peringkat Majlis Daerah Pendang (MDP) yang diluluskan pada 29 Julai lalu. Namun, terdapat teguran daripada jabatan teknikal antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Apabila kelulusan bersyarat itu diserah kepada pemaju, mereka meminta tempoh sebulan untuk meminda pelan yang kemudiannya membabitkan pelanjutan tarikh sehingga 7 September ini. Selepas ia siap dipinda, barulah akan dikembali kepada MDP untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) yang bertanya sama ada pembinaan Hospital Pendang dibatalkan berhubung pengumuman Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Jun lalu, Dr Dzulkefly memberi amaran keras kepada semua kontraktor bagi 23 projek 'sakit' termasuk pembinaan hospital dan klinik di seluruh negara yang menyaksikan pembatalan kontrak sekiranya gagal disiapkan mengikut tempoh.

Semua projek terbabit diklasifikasi sebagai 'sakit' atau 'merah' kerana mengalami kelewatan 20 peratus dalam aspek kemajuan pembinaan, menyaksikan tindakan tegas akan dilakukan seperti penalti dan disenarai hitam daripada menerima tender kementerian.

Antara hospital yang disenaraikan adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (obstetrik), Klang; Hospital Raja Permaisuri Bainun (kardiologi) Ipoh; Hospital Pulau Pinang (Fasa 2) dan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang; Hospital Rembau, Negeri Sembilan; Hospital Kemaman, Terengganu; Hospital Kuala Krai, Kelantan; Blok Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu; Hospital Petra Jaya dan Hospital Sri Aman (Sarawak).

Manakala klinik pula ialah Puchong; Gombak Setia; Gial; Air Tawar; Kota Setar; Nilai; Taman Ungku Tun Aminah; Sungai Tekam; Kampung Raja Besut; Karak; Nanga Kemalih serta Long Napir dan kuarters, Cameron Highlands dan Nabawan, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 12:45 PM