LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail

MISTERI penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan, Isnin lalu terjawab apabila mangsa dipercayai diserang di lokasi lain sebelum dia terbabit kemalangan di Kampung Baru Bukit Tuku, Tok Uban, di Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, risikan mendapati mangsa diserang tiga lelaki dengan senjata tajam di hadapan sebuah kedai cuci kereta dekat Kampung Batu Karang, di Pasir Mas,

Katanya, mangsa berusia 28 tahun kemudian dibawa menaiki Honda Civic sebelum kereta dinaiki itu terbabas di Kampung Baru Bukit Tuku yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia diserang.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta berusia 22 tahun parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah (HTM).

“Mangsa tetak dipercayai keluar sendiri dari kenderaan itu dan berjalan ke belakang sebuah rumah sebelum rebah akibat pendarahan teruk.

“Dua lagi suspek pula menghilangkan diri dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdullah berkata, mayat mangsa tetak itu hanya ditemui pada jam 10.15 malam hari sama oleh penduduk, dalam keadaan mengiring dan dipenuhi darah kering.

“Hasil pemeriksaan awal forensik menemui beberapa kesan tetakan termasuk di kepala, dahi dan lutut. Polis turut menemui kesan tangan diikat dengan menggunakan tali kasut.

“Kita sedang memburu dua lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Akhbar NSTP hari ini melaporkan satu mayat lelaki dengan kesan tetakan ditemui penduduk di belakang sebuah rumah.

Mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Berita berkaitan

Jumpa mayat di belakang rumah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 4:23 PM