KENDERAAN milik keluarga Roslan Ibrahim yang musnah dalam kebakaran di Jalan Tali Air 11, Sungai Nibong. Foto STR/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


“BIARPUN kereta peninggalan arwah ayah musnah, namun saya bersyukur kerana ibu dan anak saudara terselamat,” kata mangsa, Roslan Ibrahim, 53.

Tiga sekeluarga itu menempuh detik menakutkan apabila stor penyimpanan barang di rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Tali Air 11, Sungai Nibong di Sekinchan, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, kereta Proton Wira yang diletakkan berhampiran turut musnah dijilat api.

Roslan berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen bersama ibunya, Che Liah Cha, 75, dan anak saudaranya, Siti Fatimah Madihah Azhar, 13.

“Pada waktu itu, saya teringat barang yang tertinggal di bilik tidur dan bergegas mahu mengambilnya.

“Saya kemudian ternampak cahaya terang di luar rumah dan menyangka ia cahaya lampu. Apabila menjenguk ke luar, saya terkejut rupa-rupanya api marak memusnahkan stor,” katanya ketika ditemui, hari ini.


KEADAAN stor penyimpanan barang yang musnah dalam kebakaran.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke dapur dan membawa keluar ahli keluarga sebelum memadamkan kebakaran.

“Pada mulanya, saya sukar membawa ibu keluar kerana dia berkeras tidak mahu meninggalkan rumah.

“Namun, berikutan api semakin marak, dia akhirnya mengalah dan dibawa ke tempat lebih selamat,” katanya yang menganggarkan nilai kerugian lebih RM40,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, sepasukan 18 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.35 malam.

“Setibanya di lokasi itu, api didapati marak memusnahkan stor berkenaan dan sebuah kereta.

“Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 4:44 PM