Fairul Asmaini Mohd Pilus


“(DATUK Seri) Najib (Razak) tak perlu menjauhkan diri dari parti,” kata veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, bekas Perdana Menteri itu masih ahli UMNO dan berstatus Ahli Parlimen dipilih rakyat.

Katanya, adalah tidak adil jika Najib diminta ‘menjauhkan diri’ hanya disebabkan beberapa kes mahkamah dihadapinya kerana mungkin ada pemimpin lain dalam UMNO pernah didakwa tetapi masih bertugas.

“Apa yang berlaku jelas memberi kesan kepada parti tetapi semuanya bergantung kepada persepsi dan pandangan orang ramai.

“Soal baik buruk imej parti bukan hanya bergantung kepada seorang pemimpin sahaja, boleh jadi kelakuan semua.

“Pandangan saya, selagi seseorang individu tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka dia masih tidak bersalah dan Najib tidak perlu menjauhkan diri daripada parti,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO supaya parti itu menjauhkan diri daripada bekas pemimpinnya yang kini berdepan kes mahkamah.

Antara yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang meminta Najib tidak mencampuri urusan parti seperti dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Tengku Razaleigh berkata, situasi Najib ketika ini berbeza daripada Dr Mahathir dan Abdullah kerana bekas Presiden UMNO itu masih Ahli Parlimen yang sah.

“Kita tiada hak untuk menghalang beliau bersuara kerana soal dakwaan itu, orang lain pun ada yang pernah didakwa tetapi masih memegang jawatan.

“Kalau mahu mengambil kira imej tidak baik, semua (pemimpin) yang pernah didakwa, dituduh juga membawa kesan yang tidak baik (kepada UMNO), bagaimana semua itu nak dijadikan ukuran?

“Justeru, soal mahu aktif atau tidak semuanya terpulang kepada individu itu sendiri kerana setahu saya, parti tidak mempunyai peraturan (menghalang) kecuali yang pegang jawatan (dalam parti) akan diminta berundur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 6:04 PM
Ku Li berpendapat Najib tidak boleh dihalang untuk terus aktif dalam parti. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali