KURATOR Galeri PETRONAS, Ratna Siti Akbari (kanan) memberi penerangan berhubung bahan pameran kepada Ahmad Nizam (kiri) dan Wan Zulkiflee (tengah) pada perasmian pamera. FOTO Saifullizan Tamadi
Nor Akmar Samudin dan Husna Alias


PETRONAS hari ini melancarkan kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 bertajuk Cerita Kita, yang menggalakkan perpaduan dan harmoni dalam masyarakat yang dilihat melalui kaca mata kanak-kanak.

Kempen yang disiarkan menerusi pelbagai platform di seluruh negara itu antara lain mengadakan pameran di Galeri Petronas dan siaran kempen pengiklanan 60 saat di televisyen yang memberikan kesinambungan dalam usaha PETRONAS untuk menggalakkan perpaduan dan perpaduan sosial di kalangan rakyat Malaysia.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah (Liza) Abd Rahman berkata, mereka berharap kempen itu dapat berfungsi sebagai peringatan berterusan mengenai apa yang menjadikan semua rakyat Malaysia adalah istimewa.

"Melalui kempen ini, kami menyampaikan cerita inspirasi yang menyerapkan nilai-nilai murni yang kerap kami kongsikan.

"Nilai-nilai yang menghimpunkan kita sebagai bangsa yang unik sekali gus menggambarkan kita adalah benar-benar rakyat Malaysia," katanya yang ditemui pada pelancaran Pameran Ceritera Kita dan kempen pengiklanan TV Cerita Kita di Galeri Petronas di Kuala Lumpur

Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pada pelancaran itu, PETRONAS mengadakan tayangan kempen pengiklanan 60 saat sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Liza berkata, kempen pengiklanan 60 saat itu membentangkan gambar-gambar menarik yang diambil oleh 10 orang

kanak-kanak, berusia antara 5 tahun dan 13 tahun, dari seluruh negara.

Melalui lensa kamera masing-masing, mereka menzahirkan harapan, cinta, wira dan kehidupan keluarga di Malaysia.

Orang ramai boleh melihat kempen pengiklanan 60 saat itu di semua platform media sosial rasmi PETRONAS mulai hari ini.

Manakala kempen pengiklanan 60 saat di televisyen akan disiarkan dari 23 hingga 31 Ogos ini, sementara dua kempen khas 30-detik akan disiarkan dari 1 hingga 16 September ini.

"Galeri PETRONAS juga akan mempamerkan pameran seni bertajuk ‘Ceritera Kita,’ yang mempamerkan aktiviti sosial korporat PETRONAS dan bagaimana masyarakat mendapatkan manfaat daripadanya," katanya.

Pameran itu dibuka kepada umum dari 16 Ogos hingga 30 September ini. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 7:55 PM