Musa (empat dari kiri) bersama wakil rakan industri pada Majlis Menandatangani MoU di USIM), Nilai, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi

SERAMAI 35 pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewakili negara ke pertandingan membina model rumah pintar yang beroperasi menggunakan tenaga solar atau Solar Decathlon Middle East 2018 (SDME 2018) di Dubai, November ini.

Penyertaan itu turut menggabungkan 20 pelajar Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah pasukan tunggal dari Asia Tenggara yang berentap di peringkat akhir pertandingan itu.

USIM bakal berentap bersama 21 peserta dari 16 negara seluruh dunia dengan mengetengahkan ciptaan mereka ‘Projek Mizanhome’ - pembinaan rumah yang menggunakan tenaga solar dan dilengkapi pelbagai teknologi moden yang sesuai dengan cuaca dan iklim di negara Timur Tengah.

Naib Canselor USIM, Datuk Dr Musa Ahmad berkata, projek yang bakal diketengahkan membabitkan pelbagai kumpulan dengan disiplin berbeza, yang memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari pelbagai isu teknikal, kerja berkumpulan, kemahiran komunikasi, gaya hidup dan sosio-ekonomi.

“Projek ini memberi cabaran kepada pelajar untuk mengadaptasi hasil ciptaan mereka dengan keadaan cuaca, kepanasan, habuk dan juga cuaca kering yang sinonim dengan negara Timur Tengah.

“Idea pelajar-pelajar ini perlu fokus kepada keadaan iklim di sana yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Timur Tengah,” katanya.

Musa berkata, bagi menyokong pasukan USIM itu, sebanyak enam pemain industri tempatan dan satu dari Thailand bersetuju untuk memberi sumbangan, tajaan bahan pembinaan dan dana kewangan.

“Kerjasama daripada pihak industri dalam segala aspek untuk menjayakan projek ini mampu membuka minda dan peluang pelajar untuk terbabit secara terus dengan pihak industri.

“Kita sangat berbesar hati dan sangat komited untuk menjayakan projek ini,” katanya di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara USIM dan rakan industri sempena SDME 2018 di Nilai, hari ini.

Selain Malaysia, pertandingan itu juga akan disertai oleh peserta dari UAE, Australia, Taiwan, Pakistan, Itali dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 9:04 PM