KHAIRUL Anuar (tiga dari kanan) bersama wakil penaja melepaskan spesies ikan patin dan pacu di Tasik Metropolitan Batu, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL.
Wartawan NSTP


SPESIES ikan terbaik antaranya tongsan, rhu dan toman bersaiz lapan hingga 15 kilogram (kg) menanti pemancing di Taman Tasik Metropolitan Batu, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Malah, hadiah wang tunai berjumlah RM19,000 turut menanti 1,000 pemancing dijangka menyertai Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 di tasik itu, nanti.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Anuar Mhd Juri berkata, pertandingan bagi tahun ketujuh, siri kelima anjuran DBKL itu diadakan sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Katanya, acara bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ itu memberi peluang kepada pemancing membawa keluarga untuk beriadah, sekali gus menghidupkan suasana tasik yang ada di sekitar ibu kota.

“Sudah lama tidak diadakan program di tasik ini dan kali ini, JPKL bertandang lagi ke sini bagi memenuhi kehendak kaki pancing dan menghidupkan semula suasana di Taman Metropolitan Batu.

“Hadiah turut dikekalkan dengan pemenang tempat ke-11 hingga ke-100 akan membawa pulang RM100,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies antaranya patin dan jelawat bersaiz antara empat hingga lima kg di tasik itu, semalam.

Penampilan rakan strategik yang baharu iaitu Sardin Viral turut merancakkan aktiviti sihat itu dengan menyediakan sumbangan kepada peserta yang mendaftar awal dan cabutan bertuah.

Juara pertandingan akan membawa pulang RM5,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga, bakal memperoleh RM1,000.

Pemenang keempat akan menerima RM300 manakala tempat kelima hingga ke-10 mendapat RM200.

Turut memeriahkan JPKL kali ini, rakan strategik bersama iaitu Oyoshi Green Tea, Igloo dan Blow.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook: JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 9:46 PM