Muhammad Yusri Muzamir

Georgetown: Lebih 50 veteran tentera dan orang awam berkumpul di Memorial Centopath di sini, semalam bagi memperingati anggota tentera bersekutu dan unit pertahanan tempatan yang gugur ketika Perang Dunia Kedua.

Pengerusi Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia (PERIM) Pulau Pinang S Ganeson Samiah, 57, mengetuai jemputan yang hadir dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Cenotaph di Padang Kota Lama.

Ganeson Samiah berkata, ia sempena Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua yang disambut setiap tahun pada 15 Ogos, membabitkan ahli daripada gabungan persatuan veteran angkatan tentera Pulau Pinang.

SEBAHAGIAN Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Pulau Pinang bergambar kenangan bersama pada majlis upacara Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Katanya, sambutan itu memberi penghormatan dan memperingati perjuangan dan perkhidmatan rakan mereka yang menentang serangan serta pencerobohan ke atas Malaysia sepanjang zaman Perang Dunia Kedua.

“Kita harus berterima kasih kepada veteran amnya dan pahlawan yang gugur di medan perang, khasnya ketika mempertahankan dan melindungi raja, negara dan kebebasan Malaysia, sebelum ini.

“15 Ogos 1945 adalah hari mulia dan kami mengadakan Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua. Kami veteran ingin hidup dalam keadaan aman, selain berharap Malaysia tidak terbabit dalam kancah peperangan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 10:02 AM