NG (tengah) bersama Michael (kiri) dan James (kanan) menunjukkan laporan polis serta gambar abak lelaki Ng yang berhutang Ah Long sejak 2004 ketika sidang media di Pejabat Biro Aduan MCA, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Nur Hidayah Bahaudin
NG (tengah) bersama Michael (kiri) dan James (kanan) menunjukkan laporan polis serta gambar abak lelaki Ng yang berhutang Ah Long sejak 2004 ketika sidang media di Pejabat Biro Aduan MCA, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Nur Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA nekad 'membuang' anak lelakinya selepas tidak tahan dengan gangguan daripada peminjam wang atau 'Ah Long' sejak 14 tahun lalu yang mahu dia membayar tunggakan hutang lelaki berkenaan.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ng berusia 62 tahun berkata, anak lelakinya berusia 36, meminjam wang daripada Ah Long sejak 2004 untuk menampung perbelanjaan ketagihan judinya.

"Pada Julai lalu, saya sudah membayar lebih RM16,000 kepada empat Ah Long berbeza sebelum menerima satu panggilan telefon daripada individu mendakwa sebagai Ah Long yang memaklumkan anak saya ada berhutang sebanyak RM2,000 dan diugut supaya membayar RM10,000 bagi menjelaskan hutang itu, Selasa lalu.

"Sepanjang tempoh 14 tahun ini, sudah lebih RM50,000 dibayar kepada Ah Long bagi melangsaikan hutangnya. Saya sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan nekad untuk membuangnya daripada keluarga kami," katanya pada sidang media di Pejabat Biro Aduan MCA, di sini, semalam.

Ng merayu kepada Ah Long yang memberi pinjaman wang kepada anaknya supaya tidak mengganggunya lagi.

"Saya minta Ah Long jangan ganggu saya lagi kerana saya dengan dia sudah tidak ada sebarang hubungan.

"Dia sudah menandatangani surat yang menyatakan kami tiada hubungan, dengan ibu saudaranya sebagai saksi ," katanya.

Peguamnya, James Ee Kah Fuk berkata, walaupun tiada prosedur undang-undang khusus bagi perpisahan antara ibu bapa dengan anak, namun surat itu boleh digunakan sebagai pemberitahuan kepada Ah Long serta anaknya.

"Berdasarkan pengalaman saya, terdapat prosedur undang-undang bagi perpisahan suami isteri, namun tiada undang-undang untuk perpisahan antara ibu bapa dengan anak atau adik beradik," katanya yang memaklumkan Ng sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, berhubung gangguan daripada Ah Long.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, laporan membabitkan hutang Ah Long dilihat merekodkan jumlah kes yang tinggi.

"Dalam tempoh setengah bulan lalu, saya sudah menerima 21 kes pinjaman Ah Long membabitkan pinjaman kira-kira RM2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 1:13 PM