Hadzlihady Hassan

REMAJA perempuan yang mengaku salah menendang seekor anak kucing dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Butterworth, di Butterworth, hari ini.

Hukuman itu ditetapkan terhadap tertuduh yang berusia 16 tahun oleh Majistret Che Rohana Ismail dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa tanpa sebab yang munasabah menendang seekor kucing berusia sebulan kira-kira 1 tengah hari, pada 4 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang kedai perabot, Lorong Seri Menerong 4, Taman Seri Menerong, Tasek Gelugor di Butterworth.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (semakan 2006).


REMAJA terbabit ketika hadir di mahkamah, hari ini.

Bagaimanapun, dia dihukum mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 kerana masih di bawah umur.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Zamri Ishak.

Perbuatan remaja berkenaan dirakam sebelum menjadi tular di media sosial dan mendapat kecaman daripada netizen.

Kucing berkenaan yang bernama Mimi kini berusia enam bulan dan berada di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 3:01 PM