SEBAHAGIAN Van Thailand yang ditahan dan dikompaun serta merta RM300 atas kesalahan tidak mematuhi syarat permit edaran antarabangsa ( International Circulation Permit). FOTO Ihsan JPJ Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply


BERGERAK pada waktu malam dan awal pagi antara taktik digunakan pemandu warga asing yang menjalankan perkhidmatan membawa penumpang untuk tujuan pelancongan bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja, kebanyakan pemandu warga Thailand yang ditahan turut memberi alasan kononnya membawa ahli keluarga masing-masing, dalam Ops Khas Lebih Muatan dan Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di Plaza Tol Kuala Terengganu di Gemuruh, Kuala Nerus; Plaza Tol Ajil, Hulu Terengganu dan Jalan Sungai Tong, Setiu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, seramai 14 pemandu van berusia antara 35 hingga 40 tahun ditahan kerana gagal mematuhi syarat permit edaran antarabangsa (ICP) dalam operasi selama dua hari bermula semalam.

Menurutnya, ketika ditahan, pemandu van memberi alasan membawa ahli keluarga sebelum pemeriksaan mendapati pemandu dan penumpang tidak mempunyai kaitan.

"Mereka ini juga dikesan bergerak pada waktu malam dan awal pagi kerana menyangka pergerakan pada waktu berkenaan lebih selamat selain mahu tiba di sempadan pada sebelah pagi.

"Semua yang ditahan dikenakan kompaun serta merta RM300 dan saman perlu dijelaskan di Kaunter JPJ Mobile yang dibuka khas sepanjang operasi berkenaan.

"Jika saman tidak dijelaskan, mereka tidak boleh meneruskan perjalanan dan kenderaan mereka juga akan disita," katanya pada sidang media sempena Ops Khas Lebih Muatan dan Pemandu Warga Asing (Ops PeWA), di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam operasi sama, Zulkarnain berkata, pihaknya turut menahan dan menimbang 25 lori sebelum 26 notis saman JPJ (P) 22 dikeluarkan kerana membawa muatan berlebihan.

Katanya, sebanyak 58 notis dikeluarkan sepanjang operasi yang bermula 7 petang semalam dan berakhir 5 pagi tadi.

Katanya, Ops PeWa yang pertama kali dijalankan pada tahun ini bertujuan membanteras pemandu warga asing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Selain perlu patuh kepada undang-undang seperti mempunyai lesen memandu dan pengenalan diri yang sah, tindakan mereka ini yang menawarkan perkhidmatan membawa penumpang turut menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 1:38 PM