JOHAN (bawah, tengah) dan Pengarah Jualan dan Strategi MPTN, Nini Yusof (bawah, kiri ) bersama kakitangan MPTN menunjukkan anugerah yang dimenang.
Mohd Iskandar Ibrahim


MEDIA PRIMA Berhad (MPB) menerusi Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) meraih 17 anugerah sempena The Spark Awards for Media Excellence 2018 termasuk Media Company of the Year and Media Brand of the Year yang berlangsung di Singapura, malam tadi.

MPTN menggondol emas untuk Kempen Terbaik oleh Pemilik Media menerusi #MisiAspirasiAirAsia, Kumpulan Kandungan Terbaik (Client Service Group) dan Penyelesaian Media Terbaik- Sosial Media untuk Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 Bergerak.

Emas turut dimenangi untuk kategori Penyelesaian Media Terbaik-Integrasi Media menerusi program Terima Kasih dan Tawaran Paling Meningkat oleh Pemilik Media menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) 32.

MPTN juga merangkul perak untuk tujuh kategori iaitu Kumpulan Kerjasama Terbaik menerusi usahasama Unilever, Mindshare dan MPTN; Promosi Program Terbaik (Mocha Kau Bahagia for McDonald’s Malaysia); Penyelesaian Media Terbaik-Experiantial (Gog Wonderful) dan Penyelesaian Media Terbaik-TV/Online Video menerusi Samsung Galaxy A8 Bergerak Bersama Pentas AJL.

Selain itu, perak turut dimenangi untuk kategori Penyelesaian Media Terbaik-Media Sosial menerusi program GoGegarian, Penyelesaian Media Terbaik-Apifikasi Kandungan (#MisiAspirasiAirAsia) dan Penganjuran Program Terbaik oleh Pemilik Media (GoGegaria).

Bagi gangsa pula, MPTN merangkul penghargaan dalam kategori Pelancaran Terbaik menerusi Coke One Brand with Dapur Bonda dan Promosi Program Terbaik membabitkan program Samsung Galaxy A8 Bergerak Bersama Pentas AJL.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, penghargaan yang diraih itu membuktikan siaran televisyen masih tiada saingan dalam menyampaikan kandungan berkualiti kepada penonton.

"Saya amatgembira dengan kemenangan besar MPTN dan membawa pulang pelbagai anugerah. Di MPTN, kami memanfaatkan kekuatan yang ada dan menjadikan saluran televisyen sebagai pemacu kandungan inovatif.

"Dengan kemenangan ini, kami berupaya mempamerkan bagaimana televisyen disiarkan secara digital, mudah alih dan media sosial dalam mewujudkan platform unik untuk pelbagai peringkat usia," katanya.

Dianjurkan oleh Marketing Magazine, penganjuran The Spark Awards adalah untuk meraikan strategi, produk dan perkhidmatan media terbaik di rantau Asia Tenggara, selain platform terulung kepada pengusaha media dalam mempamerkan inovasi serta nilai pendiriannya terhadap pengiklan, agensi dan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 5:35 PM