AHMAD Bashawir Abdul Ghani. FOTO arkib NSTP
Syanty Octavia Amry
soctavia@nstp.com.my


PROFESOR Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dilantik sebagai Naib Canselor Kelapan Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 26 Ogos ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam kenyataannya berkata, beliau percaya berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh Dr Ahmad Bashawir, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diberi.

"Saya yakin beliau akan menggalas tanggungjawab ini dengan berkesan dan berupaya meningkatkan kecekapan dan keberkesanan jentera UUM ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UUM.

Dr Ahmad Bashawir berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Ottawa University dan turut mempunyai Sarjana Pengurusan Kewangan dari University of Hull serta Doktor Falsafah dalam bidang Perdagangan dari Murdoch University.

Beliau berpengetahuan luas dalam pendidikan tinggi negara berdasarkan pengalaman beliau semasa berkhidmat sebagai Penolong Naib Canselor, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS); Dekan Graduate School dan Timbalan Dekan UUM serta Visiting Professor di Universitas Bakrie, Jakarta pada 11 Mac 2016 sehingga 10 Mac 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 8:58 PM