FOTO kejadian yang dikongsi Faiz. FOTO FB Faiz Mokhtar
Mohd Azam Shah Yaacob

"SAYA pasti duit itu milik saya dan terus bersemuka dengannya,” kata Faiz Mokhtar, mangsa kecurian dalam pesawat yang mahu berlepas dari Ho Chi Minh, Vietnam ke Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Berkongsi kisah itu menerusi laman Facebooknya, Faiz berkata, kejadian berlaku sebaik memasuki pesawat Malaysia Airlines MH0751 di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat.

Menurutnya, rakannya ternampak seorang lelaki mengambil beg dari ruang simpanan bahagian atas tempat duduk penumpang .

“Rakan meminta saya untuk memeriksa beg yang disimpan di ruang atas kabin bahagian tempat duduk penumpang dan selepas memeriksa, memang beg saya tiada di situ.

“Jadi, saya terus pergi ke bahagian tempat duduk lelaki itu di barisan keempat dan melihat dia sedang menyelongkar beg saya sambil memegang beberapa mata wang asing,” katanya.

Menurut Faiz, sebaik menangkap perbuatan lelaki itu, dia terus memeriksa begnya berikutan khuatir lelaki itu meletakkan barang terlarang secara sembunyi di dalamnya.

“Pada waktu itu, perkara paling penting saya fikirkan adalah mengenai di mana dokumen perjalanan termasuk pasport yang disimpan di dalamnya selain risau jika lelaki itu menyelitkan barangan terlarang,” katanya.

Faiz berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada kru yang kemudian membuat panggilan bantuan kepada pihak keselamatan lapangan terbang dan polis.

Katanya, kejadian itu menyebabkan penerbangan tertunda berikutan juruterbang mengisytiharkan tidak selamat sehinggalah lelaki itu dibawa keluar dari pesawat.

“Kru penerbangan juga ada memaklumkan kewujudan sindiket beroperasi di China, Hong Kong dan Vietnam yang menjalankan kegiatan mencuri barang peribadi penumpang di dalam pesawat.

“Lelaki yang ditahan itu dari Hong Kong dan terbang ke Kuala Lumpur dengan tiket perjalanan sehala, berkemungkinan arah laluan perjalanannya bergantung pada hasil barang yang dicuri," katanya.

Faiz turut memuat naik beberapa keping gambar kejadian serta video berdurasi satu minit 20 saat.

Menurutnya lagi, sindiket berkenaan berani menjalankan kegiatan diatas pesawat berikutan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan kegiatan mereka selain konflik perundangan ekoran kejadian berlaku di kawasan lapangan terbang yang dianggap sebagai kawasan zon antarabangsa.

Sementara itu, NSTP gagal mendapatkan penjelasan daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB), berikutan panggilan tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 4:50 PM