MANGSA masih menerima rawatan di HTAA. FOTO Shahrul Nizam Mohamad
Shahrul Nizam Mohamad

“SAYA nekad menunggang motosikal kira-kira dua kilometer (km) ke hospital dalam keadaan berlumuran darah selepas digigit buaya,” kata Hamid Ismail yang nyaris maut selepas disambar buaya di Sungai Kampung Kurnia di Kuantan, Jumaat lalu.

Menceritakan semula detik cemas itu, Hamid, 42, berkata, ketika kejadian dia ke sungai itu untuk turun ke laut jam 4 pagi dan ketika mencedok air keluar daripada botnya, seekor buaya secara tiba-tiba menyambar tangan kirinya.

“Ketika ditarik buaya ke dalam sungai, saya meronta sekuat hati untuk menyelamatkan diri namun ia lebih ganas dengan menggigit pipi, dada dan belakang badan saya.

“Tidak lama selepas itu saya berjaya menyelamatkan diri dan bergegas naik ke atas bot sebelum nekad menunggang motosikal sejauh dua kilometer ke (Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam keadaan berlumuran darah.

“Sebaik tiba di hospital, saya terus ke kaunter kecemasan untuk meminta bantuan sebelum pengsan,” katanya ditemui NSTP di HTAA, Kuantan, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa yang tinggal seorang diri di Kuala Pahang, Pekan tidak dapat bercakap dengan lebih jelas dan lama kerana kecederaan teruk pada mulut yang menerima lapan jahitan.

Dia hanya mampu mengangguk dan menggeleng kepala ketika ditanya empat pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang yang meluangkan masa dua jam mengambil keterangannya berhubung kejadian itu.

Malah, anggota berkenaan melakonkan semula detik cemas dihadapi Hamid ketika diserang buaya bagi mendapatkan perincian berhubung kejadian terbabit.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, anggotanya terpaksa melakonkan semula di depan mangsa bagi menceritakan keadaan sebenar yang berlaku berikutan nelayan itu sukar bercakap.

“Mangsa faham apa yang dilakonkan anggota PERHILITAN dan memang sah ia disambar buaya.

“Kita menolak spekulasi tular di laman media sosial mengatakan mangsa dipukul sekumpulan lelaki berdasarkan kesan luka pada badan nelayan itu,” katanya. Ahmad Azhar berkata, pihaknya sudah menubuhkan tabung bantuan serangan binatang buas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantunya memandangkan mangsa tiada waris yang tinggal di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:27 PM