ANGGOTA polis mengiringi suspek kes bunuh seorang penjawat awam, Phillip Uja, 42, untuk pertuduhan di Mahkamah Sibu. FOTO Harun Yahya
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Harun Yahya


PEMANDU lori dihadapkan di Mahkamah Seksyen Sibu hari ini, kerana membunuh dan merogol penjawat awam, awal bulan ini.

Bagi pertuduhan pertama, Philip Uja, 42, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (4) Kanun Keseksaan kerana merogol sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Lelaki terbabit didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di bilik tidak bernombor di rumah 9B dekat Jalan Tiong Hua, di Sibu antara 8 malam 1 Ogos sehingga 2.30 petang, 2 Ogos lalu.

Bagi tuduhan pertama, Philip berdepan dengan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki terbabit boleh diperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang dari 10 sebatan.

Tertuduh hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Iban, namun tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Caroline Bee Majanil menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Tajul Aariffin Musa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 2 Ogos lalu, mayat Nurnia ditemui di bilik sewanya dalam keadaan tangan dan kakinya terikat.

Mayat mangsa ditemui rakan sekerjanya yang datang ke bilik sewa itu selepas wanita terbabit tidak hadir ke tempat kerja serta tidak dapat dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:19 AM