DR Mahathir ketika sidang media di the Great Hall of the People di Beijing, semalam. FOTO EPA
Saidon Idris di Beijing

RUNDINGAN akan dilakukan pada peringkat pegawai untuk mencari jalan keluar daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) pada kos paling rendah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, ini kerana kerajaan mungkin perlu membayar pampasan susulan keputusan itu yang disebabkan rundingan kerajaan terdahulu.

“Mengapa kita perlu memeterai perjanjian yang mana kita perlu membayar pampasan besar jika projek tidak diteruskan.

“Sepatutnya mesti ada klausa keluar yang adil bagi kedua-dua pihak dalam semua perjanjian tetapi dalam hal ini, jika kita batal, kita kena bayar jumlah wang yang banyak,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan projek ECRL dan TSGP buat masa ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan membatalkan pelaksanaan projek itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

“Saya percaya, China sendiri tidak mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara bankrap,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan lima harinya ke China, hari ini.

Mengenai kemungkinan pembatalan projek berkenaan akan menjejaskan hubungan Malaysia-China, Dr Mahathir berkata, beliau telah menjelaskan kepada ketiga-tiga pemimpin negara itu mengapa kerajaan terpaksa menghentikannya dan mereka amat memahaminya.

“Sebelum ini ada salah faham, tetapi sekarang mereka faham mengapa kita perlu melakukannya,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan hubungan Malaysia dengan China terus kukuh, malah beliau dijemput sekali untuk melawat negara itu pada April tahun depan untuk menghadiri Forum Belt And Road.

Dr Mahathir berkata, dalam lawatannya kali, beliau juga telah menjelaskan pada pihak China mengenai jenis pelaburan langsung asing (FDI) yang diperlukan Malaysia.

Katanya, bagi Malaysia, FDI adalah pelabur membawa masuk modal dan teknologi dengan mendirikan kilang di Malaysia menggunakan tenaga kerja tempatan.

“Ia bukannya membeli tanah dan membangunkan bandar-bandar baru kerana ia boleh dilakukan sendiri oleh pelabur Malaysia,” katanya.

Berita berkaitan:

ECRL, TSGP dibatalkan, MPK diteruskan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 6:05 PM