PENDUDUK kampung membantu anggota polis mengangkat dua sahabat yang lemas. FOTO Rosli Ilham


KEGEMBIRAAN 15 sahabat mandi di Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, Dungun, hari ini, berakhir tragedi selepas dua daripada mereka lemas.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Muhammad Arif Haikal Amran, 16, dari Padang Kemunting dan Muhammad Hafiz Asran, 16, dari Kampung Pak Tuyu lemas ketika mandi di situ.

Sebelum kejadian, Muhammad Hafiz dikatakan terjun dari batu tinggi sebelum lemas.

Muhammad Arif yang menyaksikan kejadian itu terjun untuk memberi bantuan, bagaimanapun dia turut lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jaswari Awang, berkata, enam anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Menurutnya, anggota bomba, polis dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sebelum menemui Muhammad Arif kira-kira 2 petang.

“Muhammad Hafiz pula ditemui di dasar sungai setengah jam selepas itu. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

“Polis menghubungi keluarga kedua-dua mangsa bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 6:18 PM