PEMILIK lembu, Shaffei Yusof, 55, mengheret lembunya untuk disembelih sempena Aidiladha di Kampung Telosan. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


LEMBU ‘sado’ yang diberi nama Manja seberat lebih 500 kilogram menjadi tumpuan sempena ibadat korban Aidiladha di Kampung Telosan, Pasir Puteh, hari ini.

Pemiliknya Shaffei Yusof, 55, berkata, dia menjual lembu jenis baka Charolais berusia dua tahun lima bulan itu dengan harga RM1,200 satu bahagian.

Kata Shaffei, dia tidak sangka gurauannya di Whatsapp menawarkan lembu itu untuk dijual sebagai binatang korban Ahad lalu, mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya buka jualan tiga hari sebelum raya dengan menghantar mesej ke Whatsapp.

"Saya terkejut apabila tawaran itu mendapat permintaan yang luar biasa dan tujuh bahagian lembu berjaya dijual kurang tiga jam selepas ditawarkan bermula jam 9 malam," katanya ketika ditemui di tempat penyembelihan di Kampung Telosan, di sini.

Shaffei berkata Manja bersaiz lebih dua kali ganda daripada lembu kampung biasa dan setiap bahagian akan dapat 50 kilogram untuk daging dan tulang berbanding hanya 10 kilogram untuk satu bahagian lembu bersaiz biasa.

Sementara itu, ketua Kampung Telosan Safie Yusof, 53, berkata, korban lembu sebesar itu adalah yang pertama kali berlaku dan ia amat mengujakan penduduk kampung dan sekitar.

Katanya, penternakan lembu bersaiz besar dari jenis Limosin dan Charolais berkembang pesat dalam kalangan penduduk kampung sejak beberapa tahun lalu.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 15 penternak lembu baka ini di kampung ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 3:19 PM