Suasana pertandingan di Tasik Metropolitan Batu, Kuala Lumpur

PERTANDINGAN memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan Batu, Kuala Lumpur sempena bulan kebangsaan, menarik penyertaan lebih 700 kaki pancing.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi siri 5/2018 Ahad lalu itu dimeriahkan dengan suasana riuh pemancing menaikkan toman.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, pertandingan bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ itu memberi peluang kepada kaki pancing melepaskan gian memancing sambil beriadah bersama keluarga.

Katanya, berdasarkan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin matlamat pertandingan untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun agama, sudah pun tercapai.

“Tasik Metropolitan Batu sesuai untuk pertandingan memancing berikutan lebih 150 ikan dinaikkan di sini, menunjukkan tasik ini memang banyak ikan.

“Antara spesies ikan yang berjaya dinaikkan peserta ialah patin, toman, lampan, keli dan tilapia,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur.

Sementara itu, peserta, Azlan Ahmad muncul juara berganda pada pertandingan kali ini kerana pernah menang tempat pertama pada acara sama pada 2015.

Hasil tarikan patin seberat 5.795 kilogram (kg) berumpankan roti kosong pada 11.09 pagi melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta barangan iringan.

Bagi tempat kedua dan ketiga pula, ia disandang oleh Khairul Fitri Mohamad, yang membawa pulang RM2,000 dan Azimee Anuar (RM1,000) selepas masing-masing menaikkan toman seberat 3.995 kg dan 3.705 kg.

JPKL akan diadakan lagi pada 16 September ini sempena Hari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 7:19 PM