WONG Siew Ki bersalaman dengan petugas pilihanraya MCA ketika tinjauan mesra di Kampung Baru Batu 11, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Esther Landau
cnews@nstp.com.my


MCA diingatkan supaya lebih kreatif dalam melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Selain itu, calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki turut menegur calon MCA, Tan Chee Teong kerana dikatakan mencuri idea manifesto kerajaan.

Siew Ki berkata, Chee Teong ketika melakukan pemeriksaan pada sistem pengairan semalam, berjanji akan memansuhkan tol selain menyelesaikan masalah infrastruktur sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong.

"Sedangkan memansuhkan tol secara berperingkat adalah manifesto PH dan bukannya manifesto MCA.

"Selama ini, PH bekerja keras untuk memastikan masalah infrastruktur yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin," katanya kepada media selepas berkempen di Pekan Batu 11, Balakong, hari ini.

Pada program berkenaan, Siew Ki turut diiringi veteran DAP, Lim Kit Siang.

Siew Ki berkata, jika pengundi di kawasan itu inginkan pembaharuan dan mahu wakil rakyat yang komited berjuang untuk mereka, dia adalah calon paling sesuai.

Katanya, kemenangan PH di DUN Balakong bukan sahaja akan memudahkan kerjasama antara Selangor dan kerajaan persekutuan malah pada masa sama, membawa pembaharuan kepada kawasan berkenaan.

"Kita menerima maklum balas positif daripada pengundi dan ia menunjukkan petanda baik kepada PH. Namun, apa yang membimbangkan, jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada 8 September ini mungkin tidak memenuhi jangkaan," katanya.

Menurut Siew Ki lagi, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan sebanyak 75 hingga 80 pengundi akan keluar mengundi iaitu jumlah sama seperti di PRK Sungai Kandis tetapi pihaknya menjangkakan hanya 50 peratus sahaja yang akan keluar menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Kata Siew Ki, pihaknya akan bekerja keras bagi mencapai sasaran 75 hingga 80 peratus pengundi keluar mengundi sekali gus mengekalkan majoriti kemenangan.

"Walaupun pilihan raya kali ini tiada calon UMNO tetapi sentimen terhadap parti itu masih ada.

"Apapun, saya berharap pengundi di DUN Balakong akan keluar mengundi bagi menunjukkan solidariti mereka kepada PH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 7:54 PM