HM Digital

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi di sini, semalam bersama hampir 1,000 umat Islam.

Baginda tiba jam 8.20 pagi diiringi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman; Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan suami Tunku Puteri Johor, Dennis Muhammad Abdullah.

Turut menyambut ketibaan ialah Menteri Besar Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Azmi Rohani, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli dan barisan Exco.

Solat sunat Aidiladha diimamkan Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Makhadzir Abdan, yang turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Pengorbanan Untuk Agama Allah’.

Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira jam 9 pagi.


SULTAN Ibrahim diiringi Tunku Ismail, berkenan bersalaman dengan rakyat ketika hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:30 AM