TAPAK projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung operasi sementara pembinaan di Kotasas, Kuantan, hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Luqman Arif Abdul Karim


KEPUTUSAN kerajaan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disifatkan umpama hukuman kepada rakyat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa ia adalah ‘harga’ yang terpaksa dibayar penduduk Pantai Timur akibat keengganan mereka mengundi kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Pengumuman pembatalan ECRL oleh kerajaan PH sejurus Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali dari lawatan kerja ke China adalah amat mengecewakan kerana pembangunan projek kemudahan pengangkutan awam darat yang pantas dan moden ini amat diperlukan bagi menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung.

“Ia penting untuk menjadi pemangkin pertumbuhan yang memungkinkan kesan gandaan ekonomi dan kemasukan pelaburan domestik serta asing, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Selasa lalu, Dr Mahathir ketika melakukan lawatan kerja ke negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia selama lima hari itu memaklumkan keputusan membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini.

Keputusan itu, katanya, sudah disampaikan kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Asyraf berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) melancarkan projek ECRL bernilai RM55 billion (kini RM66.7 billion) sebagai inisiatif berimpak tinggi menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11), membabitkan jajaran sepanjang 688 kilometer dan merangkumi dua fasa pembinaan.

Projek mega demi manfaat rakyat itu, katanya, dijangka siap pada 2024 dan berupaya menambah 1.5 peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta dijangka mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan.

“Tidak semuanya legasi kepimpinan terdahulu harus dihapuskan hanya kerana dendam politik sehingga menjadikan rakyat Pantai Timur sebagai mangsa, sebaliknya mereka berhak menikmati kesaksamaan pembangunan ekonomi dan bukan hanya berpusat di sebelah Pantai Barat.

“Oleh itu, Pemuda UMNO meminta kerajaan PH mengenepikan ego politik untuk kembali ke meja rundingan dengan kerajaan China bagi mencari penyelesaian terbaik supaya projek ECRL dapat diteruskan.

“Sebarang terma yang didakwa tidak menguntungkan boleh dirundingkan kembali supaya rakyat tidak dijadikan mangsa dengan pembatalan projek yang sudah pun bermula,” katanya.

Katanya, Pemuda UMNO tidak mahu generasi akan datang terpaksa mewarisi beban pembayaran pampasan yang tinggi akibat pembatalan projek yang sudah bermula susulan keegoan pimpinan hari ini menghapuskan legasi infra-rakyat dicetuskan kepimpinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 7:13 PM