GAMBAR hiasan


TIGA sahabat dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, tiga mangsa terbabit dikenali sebagai Khairil Ikmal Danial Zamzuraidi, Ahmad Daniel Firdaus Zubir dan Shahir Aqil Shahrun, masing-masing berusia 19 tahun.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 6.23 petang.

Beliau berkata, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal, Kemaman dan Chukai dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Daripada maklumat awal, kita dimaklumkan mangsa mandi di kawasan pantai itu bersama empat lagi rakan.

“Namun, tiba-tiba ombak kuat dan empat yang lain berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga mangsa hilang dikhuatiri lemas,” katanya.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 9:43 PM