ZAMIHAN Mat Zin. FOTO Arkib NSTP


PENDAKWAH terkenal Zamihan Mat Zin menafikan dakwaan kononnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menamatkan kontrak beliau sebagai pegawai deradikalisasi.

Zamihan berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai penamatan kontrak itu selain menegaskan akan mematuhi terma kontrak jawatan terbabit yang dipersetujui selama dua tahun dan tamat pada Jun 2019.

“Perkhidmatan saya masih sah di KDN, cumanya Jun lalu saya dipindahkan dari KDN ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya tidak diberitahu sebab dipindahkan, namun sebagai penjawat awam saya akur terhadap keputusan itu.

“Program deradikalisasi masih berjalan seperti biasa. Masih ada 46 pegawai terbabit dalam program itu menjalankan kerja mengikut bidang masing-masing,” katanya pada NSTP, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan KDN menamatkan kontrak Zamihan sebagai pegawai deradikalisasi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman mengesahkan perkara itu selain menyifatkan Zamihan sebagai 'aset penting' dan 'pakar rehabilitasi'.

Mengulas lanjut, Zamihan berkata, dakwaan Azis itu disifatkan sebagai tidak berpengetahuan terhadap skop kerjanya.

Beliau turut mempersoalkan kefahaman Azis terhadap 'kedudukannya' sebagai penjawat awam.

“Saya penjawat awam tetap, tiada istilah kontrak membabitkan kerja di KDN, walaupun saya kini berkhidmat di JAKIM, ia masih beroperasi dengan pemantauan KDN.

“Merujuk kepada jawatan pegawai deradikalisasi di KDN, pelantikan itu dibuat oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika saya tidak memegang portfolio itu, saya masih penjawat awam di KDN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:27 PM