TAN (kanan) bersama Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan (dua dari kiri) menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk berkempen di DUN Balakong.
HM Digital

Balakong: MCA akan membawa isu pemansuhan tol di Dewan Undangan Negeri (DUN) jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

Calon MCA, Tan Chee Teong berkata, ini kerana Kerajaan Negeri turut mempunyai kepentingan dalam kutipan tol.

Katanya, beliau akui pemansuhan tol tiada dalam manifesto parti untuk PRK tetapi perkara itu adalah isu yang rakyat inginkan.

“Ini bukan isu meniru manifesto parti lain. Saya bukan hanya perjuangkan isu dalam manifesto. Isu berkaitan kepentingan rakyat akan saya teruskan,” katanya ditemui media selepas beliau melakukan kempen di kawasan sekitar Taman Seri Cheras di sini, semalam.

Chee Tong berkata, Balakong dikelilingi tujuh tol yang ‘mengepung’ penduduk di kawasan itu.

Katanya, penduduk Balakong seakan terperangkap dengan tol kerana terpaksa membayar tol untuk keluar ke Kajang atau Kuala Lumpur.

“Saya harap sangat jika kerajaan dapat mansuhkan tol seperti dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Jika tak dapat mansuh pun sekurang-kurangnya turunkan harga tol bagi meringankan beban penduduk di sini,” katanya.

Terdahulu dalam satu kenyataan media, Chee Tong berkata, beliau terkejut dengan tindakan calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki yang gagal menjawab isu berkaitan kegagalan pemansuhan tol oleh kerajaan seperti dalam janji manifesto.

“Siew Ki memberitahu perkara itu perlu ditanyakan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Adakah Wong Siew Ki akan merujuk semuanya kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri?

“Saya terkejut dengan jawapan yang diberikan Siew Ki dengan alasan bahawa isu tol adalah isu kerajaan Persekutuan .

“Sampai bila isu seperti ini hendak ditanyakan kepada Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:05 AM