KAPAL layar mewah The Equaminity dilabuhkan di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga lagi mengemukakan permohonan di Mahkamah Admiraliti bagi mendapatkan perintah untuk menjual kapal layar mewah, Equanimity dengan segera.

Kes akan disebut di Mahkamah Admiraliti hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris.

Berdasarkan writ dan notis permohonan, 1MDB dan dua syarikat subsidiari iaitu Global Investment Limited, Energy Holdings Limited dan Kerajaan Malaysia sebagai plaintif menamakan pemilik kapal atau Equanimity dari Cayman Islands sebagai defendan.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Joseph & Partners pada 6 Ogos lalu.

Plaintif memohon deklarasi bahawa 1MDB adalah pemilik berkepentingan dan diberi kuasa terhadap kapal.

Selain perintah menjual kapal layar itu, plaintif memohon perintah bahawa pembahagian hasil jualan kapal itu diserahkan kepada mereka, selepas pemilikan itu dibuktikan.

Plaintif juga memohon perintah kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Menurut notis permohonan itu, kapal layar itu akan dijual oleh Sherif (pegawai mahkamah) melalui tender awam atau perjanjian sulit sekiranya ada menerima tawaran mengikut nilai pasaran atau lebih lagi.

Jualan kapal melalui tender awam itu perlu memenuhi terma dan syarat Sherif atau mahkamah serta bebas daripada sebarang kos.

Pembelian kapal itu perlu dibayar kepada Sherif dalam mata wang dolar Amerika Syarikat, Euro atau Ringgit Malaysia.

Hasil jualan itu perlu dimasukkan dalam akaun bank tempatan yang diluluskan akauntan am dalam tempoh dua minggu selepas pembayaran diterima bagi mendapatkan faedah komersial.

Sekiranya, penjualan dilakukan dalam mata wang asing, ia akan diletakkan dalam akaun yang mempunyai faedah mengikut budi bicara Sherif.

Sherif atau plaintif diberi kuasa untuk membuat pembayaran kepada kakitangan kapal layar itu melalui wang hasil penjualan kapal itu.

Berdasarkan notis itu juga, Sherif diberi kuasa untuk menerima tawaran harga yang lebih tinggi sama ada melalui tender awam atau perjanjian sulit, mengikut pertimbangan yang wajar dalam menentukan pembeli yang sesuai.

Plaintif diberikan kebebasan untuk melantik pengurus, jurunilai, pengawal keselamatan, broker atau ejen yang sesuai bagi membantunya dalam penjualan kapal dan lain-lain perkara yang berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:19 AM