MOHD Faiqis menyiram kubur arwah ibu, Maslan Hassan, 55, dan kakaknya Nur Fashiera, 25, selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rekang Hilir. Foto STR/NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias


“SAYA tidak sangka gambar profil Whatsapp milik kakak yang ditukar dengan gambar kubur arwah ayah menjadi petanda mereka mahu meninggalkan kami serentak,” kata Mohd Faiqis Mohammad Rusdi, 21.

Anak bongsu kepada Maslan Hassan, 55, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, semalam, berkata, dia masih sukar menerima kehilangan ahli keluarganya, namun perlu reda.

“Saya paling terkilan kerana tidak sempat berjumpa ibu. Kali terakhir saya berjumpa dengan ibu adalah pada April lalu selepas mendirikan rumah tangga dan menetap bersama isterinya di Kemaman, Terengganu.

“Ibu ada meminta saya pulang beraya bersama di Bachok pagi semalam, namun saya tidak mendapat cuti.

"Selepas membalas mesej ibu, saya bersiap untuk ke tempat kerja sebelum mendapat panggilan daripada sepupu memaklumkan ibu serta keluarga terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Kampung Rekang Hilir, Bachok, malam tadi.

Kata Mohd Faiqis, ibunya juga teruja menunggu kelahiran cucu dan kerap bertanya keadaan isterinya, Nur Farhana Fyren, 28, yang kini hamil lima bulan.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu, empat beranak terbabit dalam kemalangan selepas Perodua Myvi dipandu Muhammad Faiziel, 27, terbabas sebelum terhumban dalam cerun.

Akibat kejadian itu, Maslan dan anak perempuannya, Nur Fashiera Mohammad Rusdi, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Faiziel meninggal dunia petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.

Seorang lagi kakak Mohd Faiqis, Nur Farrah Ezlyn, 22, patah pergelangan tangan.

Jenazah Maslan dan Nur Fashiera selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rekang Hilir, 10.20 malam tadi, manakala jenazah Muhammad Faiziel dikebumikan pagi tadi.

Berita berkaitan

Tak sempat pulang beraya

[UPDATE] Muhammad Faiziel 'menyusul' ibu, adik

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 1:12 PM