ANGGOTA bomba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 79 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Sungkai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Farah Suhaidah Othman


PERJALANAN empat sekeluarga berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan kereta lain dalam kemalangan di Kilometer 79 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Sungai, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi, wanita warga emas, Razmi Senan, 65, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menaiki ambulans ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Anak perempuan mangsa, Sanisah Saharun, 31 dan suaminya, Mohd Razali Jaffar, 30 yang memandu kereta turut cedera.

Manakala, cucu Razmi, Nur Farisha Eryuna, 12 bulan terselamat dalam kemalangan membabitkan Proton Waja dinaiki empat sekeluarga itu dengan Suzuki Swift dipandu lelaki, 20, yang turut terselamat dalam kejadian sama. Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki empat mangsa dalam perjalanan menghala ke Bidor manakala kereta lain yang dipandu penuntut universiti swasta datang dari laluan bertentangan.

“Setibanya di lokasi kejadian kereta dipandu penuntut lelaki berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan Proton Waja dinaiki empat sekeluarga itu gagal mengelak lalu merempuhnya dan terbabas ke seberang jalan.

“Akibat rempuhan itu seorang wanita warga emas yang duduk di belakang parah di bahagian dada dan mangsa dikejarkan ke Hospital Tapah, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian pemandu Proton Waja ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 3:47 PM