SUHAIMI (depan) mengetuai kru KD Lekiu disambut dengan paluan kompang sejurus tiba di Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu dari Hawaii, hari ini. FOTO Khairull Azri Bidin
Mohd Nazllie Zainul


PELAYARAN mengharungi lautan sejauh 12,000 batu nautika selama 65 hari tidak sia-sia apabila Kapal Diraja (KD) Lekiu yang mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menempa nama sebagai pemenang pertandingan inovasi sempena Eksesais Rim Of The Pacific (RIMPAC) 2018 di Hawaii, Amerika Syarikat.

Eksesais anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat yang berlangsung dari 27 Jun hingga 3 Ogos lalu itu disertai 47 kapal perang termasuk lima kapal selam, 18 angkatan tentera darat selain 29 pesawat peronda maritim serta 200 pesawat pejuang dan helikopter dengan 25,000 anggota tentera dari 25 negara.

Pegawai Memerintah KD Lekiu Komander Suhaimi Jumahat berkata, pasukannya dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Inovasi RIMPAC 2018 menerusi persembahan idea `Floating DC (Damage Control) Bag'.

Katanya, pertandingan itu disertai lapan pasukan daripada lima negara dengan pasukan Tentera Laut India dipilih sebagai naib juara manakala wakil Tentera Laut Republik Korea mendapat tempat ketiga.

“Setiap negara mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan keamanan perairan masing-masing dan selaku antara negara yang terbabit dalam latihan itu, kita juga boleh mempelajari sesuatu pembaharuan dalam usaha meningkatkan lagi tahap keselamatan perairan di negara ini,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan KD Lekiu di Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini.

Ketibaan KD Lekiu dengan 144 anak kapal itu disambut Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Logistik Timur Laksamana Pertama Ir Ow Kiat Bin.

Ia adalah penyertaan sulung TLDM dalam RIMPAC sekali gus mencatat sejarah apabila berjaya memenangi pertandingan yang diadakan sempena eksesais bertaraf antarabangsa itu.

KD Lekiu tiba di Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu pagi hari ini dan berlabuh selama tiga hari sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Markas Pemerintahan Armada Barat di Lumut.

Aset berkenaan bertolak dari Pangkalan TLDM Lumut bagi menyertai eksesias berkenaan pada 5 Mei lalu dan tiba di Hawaii pada 26 Jun lalu sebelum kembali awal bulan ini.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, tahap diplomasi pertahanan TLDM dengan tentera laut asing ketika berada di laut juga memainkan peranan penting khususnya apabila keluar belayar di luar kawasan perairan negara.

Katanya, kerjasama dan komunikasi yang baik dalam apa saja situasi amat diperlukan bagi memudahkan TLDM memohon bantuan sekiranya memerlukan terutama membabitkan bekalan air dan minyak.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pembabitan TLDM dalam eksesais berskala besar terbabit adalah keputusan bijak disebabkan ia mampu menguji tahap keupayaan kapal milik pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 6:30 PM