Mohd Hilmie Hussin


SEBUAH treler muatan gelung besi koil terbalik menyebabkan diesel kenderaan itu tumpah dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat Ayer Keroh Heights di Lebuh Ayer Keroh, hari ini.

Difahamkan, treler terbabit dalam perjalanan menghantar muatan itu ke Selangor dari sebuah kilang berdekatan.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, treler membawa empat gelung besi koil seberat 10 tan setiap satu, dari arah Melaka menuju ke arah MITC, sebelum kemalangan berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.27 pagi lalu sembilan anggota termasuk pegawai dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita dapati badan treler dengan muatan gelung besi koil terbalik, namun kepala treler berada di kedudukan asal. Akibat kemalangan ini, tangki minyak treler mengalami kebocoran lalu berlaku limpahan diesel di atas jalan.

“Kita melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa dalam kenderaan sebelum menggunakan habuk kayu untuk menyerap diesel,” katanya.

Katanya, akibat kemalangan itu, laluan di Lebuh Ayer Keroh mengalami kesesakan hampir lima jam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemandu treler berusia 40 tahun, treler itu dipandu perlahan kerana baru bergerak selepas persimpangan lampu isyarat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta BMW dari arah bertentangan, tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan pemandu treler terbabit melakukan brek mengejut menyebabkan badan treler terbalik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 8:56 PM
KEADAAN treler yang terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat Ayer Keroh Heights di Lebuh Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad