JENAZAH Shahir Aqil dituntut ahli keluarganya di Hospital Kemaman sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Jabur Kubur, Chukai, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.


SHAHRIL Aqil Shahrun, 19, yang ditemui lemas selepas mandi bersama enam bekas rakan sekolahnya di Pantai Teluk Kalong, Chukai, petang kelmarin, sepatutnya melapor diri ke Kem Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Terengganu, pada hari kejadian.

Bapa mangsa, Shahrun Ramli, 59, berkata bagaimanapun anak keempat daripada lima beradik itu menangguhkan untuk pergi pada sebelah petang.

Beliau berkata, dia tidak mengetahui Shahir Aqil ke pantai berkenaan bersama enam bekas rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Chukai, kerana anaknya itu hanya memaklumkan mahu menghadiri kenduri di rumah rakan yang terletak berhampiran.

“Arwah memang aktif dalam sukan pencak silat sejak berusia 14 tahun dan pernah tercalon untuk mewakili Terengganu ke SUKMA 2016 di Sarawak, tetapi saya tidak izinkan kerana mahu dia menumpukan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Shahir Aqil memang anak yang baik dan sangat mengambil berat. Saya terkejut apabila dimaklumkan dia lemas di pantai itu bersama dua lagi rakannya, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Jabur Kubur, Chukai, petang semalam.

Sementara itu, seorang daripada empat mangsa yang terselamat, Muhammad Naufal Abd Rahman, 19, berkata walaupun belajar di Johor, Allahyarham sering berhubung dengan bekas rakan sekolahnya dan mereka akan meluangkan masa bertemu setiap kali waktu cuti.

“Kami selalu berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Asalnya kami hanya memancing dan barbeku, namun seorang rakan mengajak untuk mandi dan tanpa berfikir panjang dan mahu meraikan pertemuan itu, kami setuju untuk mandi.

“Tak sangka pula ia berakhir dengan tragedi. Tentunya kami sedih kehilangan sahabat karib, namun Shahir Aqil ditakdirkan pergi dulu mengadap Ilahi,” katanya.

Sementara itu, keadaan ombak besar dan angin kencang, petang semalam menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa lemas di pantai berkenaan.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mangsa dibimbangi dihanyutkan arus ke tengah laut berikutan keadaan ombak kuat dan angin kencang.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan daripada 53 pegawai dan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta nelayan setempat sudah menggandakan usaha SAR, namun belum berhasil.

“Kami turut mendapatkan khidmat Pasukan Penyelamat Di Air yang turut melakukan selaman bagi mengesan kedua-dua mangsa.

“Malah kami memperluaskan kawasan SAR sehingga tiga kilometer ke kawasan laut dan berharap mangsa dapat ditemui secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mohamed Zulkhairul berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa pelabuhan supaya memaklumkan kepada semua kapal untuk membantu melakukan pemantauan sekiranya menemui objek menyerupai manusia di laut.

Dalam kejadian 6.20 petang kelmarin, Shahir Aqil yang juga penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Ibrahim, Johor dilaporkan lemas bersama dua rakannya iaitu Khairil Ikmal Danial Zamzuradi yang juga penuntut Diploma Pengajian Perniagaan Politeknik Kok Lanas, Kelantan dan Ahmad Danial Firdaus Zubir yang juga penuntut Diploma Pengurusan Kulinari dan Sains di Universiti MSU, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mayat Shahir Aqil ditemui pada 4.30 pagi semalam pada jarak 500 meter dari lokasi Pos Kawalan Bomba di pesisir pantai berkenaan, manakala dua lagi rakannya masih hilang.

Berita berkaitan

'Tiba-tiba air pasang'

[UPDATE] Dah jumpa seorang, cari lagi dua

[UPDATE] Ya Allah, semoga anakku selamat...

[UPDATE] Terkilan gagal selamat rakan

Tiga sahabat hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:07 AM