PENGASUH wanita berusia 23 tahun ketika dibawa ke Mahkamah Khas (Reman) Seremban susulan kes bayi, Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz yang berusia 4 bulan yang dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada 20 Ogos lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi
nur@nstp.com.my


PENGASUH kepada bayi lelaki berusia empat bulan yang kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) akibat pendarahan dalam otak dan mata, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Nur Hayatie Mohd Saini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, wanita itu ditahan reman mulai hari ini sehingga 31 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Wanita dari Taman Sri Mambau Seremban itu ditahan pada 8.45 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban berikutan kecederaan dalaman yang ditemui pada bayi lelaki itu.

Bayi itu dikejarkan ke HTJS pada hari Isnin lalu selepas didapati tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya.

"Pada 20 Ogos, ibu bayi menerima panggilan dari pengasuh yang memaklumkan tentang keadaan bayi yang menunjukkan tanda-tanda lemah kerana menangis.

"Ayah bayi itu bergegas ke rumah pengasuh di Taman Sri Mambau Seremban, sebelum menghantarnya ke HTJS untuk rawatan," kata Thiew.

Semalam, media melaporkan Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di sini, Isnin lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, ketika dihubungi berkata, anak tunggalnya itu, mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui Facebook kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

“Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anak saya tidak sedarkan diri. Suami segera mengambil anak kami dan menghantarnya ke HTJS untuk rawatan dengan segera," katanya.

Kejadian itu menjadi tular di Facebook apabila seorang lelaki mendakwa doktor turut menemui kesan lebam pada perut serta paha bayi berkenaan dan banyak pihak menyalahkan pengasuh terbabit yang disyaki menderanya.

Ditanya mengenai perkara itu, Zura Emilia berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu menjadi viral serta enggan menyalahkan sesiapa buat masa ini dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan

'Kenapa bayi kami koma?'

[UPDATE] Pengasuh bayi koma ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 2:25 PM