Jenazah Khairil Ikmal Danial (gambar kecil) dituntut keluarganya selepas siap dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Kemaman, Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.


“SELEPAS dua hari menanti, saya lega akhirnya anak saya ditemui walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” kata Zamzuradi Othman, 46.

Bapa kepada Allahyarham Khairul Ikmal Danial, 19, yang ditemui lemas pada 9.45 pagi hari ini selepas mandi bersama enam bekas rakan sekolahnya di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai petang Khamis lalu, berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian anaknya itu.

“Selepas mendapat tahu mengenai kejadian, hati saya risau dan tidak putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya dia ditemui. Allah SWT akhirnya memakbulkan doa kami.

“Walaupun dia ditemui sudah tidak bernyawa, saya tetap bersyukur kerana mayatnya dalam keadaan sempurna dan kami reda,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di Chukai, hari ini.

Beliau berkata, anaknya yang juga penuntut Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Kok Lanas, Kelantan, tidak menunjukkan sebarang perbuatan pelik sepanjang bercuti di kampung.

Katanya, pada malam sebelum kejadian, arwah ada minta izin mahu ke pantai itu bersama rakan kerana mahu memancing, tetapi dia tidak izinkan dan meminta dia menjaga rumah kerana mereka sekeluarga mahu menghadiri kenduri di Kuala Terengganu.

“Tak sangka pula dia pergi juga sehinggalah saya dikejutkan dengan panggilan memaklumkan kejadian menimpa anak dan rakannya,” katanya.

Dalam kejadian pada 6.20 petang kelmarin itu, tiga sahabat iaitu Khairul Ikmal Danial serta Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, penuntut Diploma Kulinari Universiti MSU, Kuala Lumpur dan Shahir Aqil Shahrun, 19, penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Ibrahim, Johor, lemas selepas mandi di pantai itu bersama empat rakan lain.

Mayat Khairul Ikmal Danial yang terakhir ditemui pada 9.45 pagi hari ini manakala mayat Ahmad Daniel Firdaus ditemui pada 5.20 pagi hari ini.

Sebelum itu, mayat Shahir Aqil yang juga atlet pencak silat Terengganu untuk Sukan Malaysia (SUKMA) ditemui pada 4.30 pagi semalam.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, berkata mayat ketiga-tiga mangsa ditemui terdampar di gigi air kawasan pantai itu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, faktor keadaan pasang surut air laut menyebabkan mangsa ditarik ke tengah laut dan tenggelam ke dasar, sebelum air pasang dan ombak kuat menolak mayat ke pesisir pantai.

“Disebabkan itu usaha pasukan SAR di laut gagal menemui mangsa. Apa pun kita bersyukur semua mangsa ditemui dalam keadaan baik dan sempurna,” katanya.

Jenazah Khairil Ikmal Danial dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Mentok, Chukai manakala jenazah Khairil Ikmal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman.

Dalam pada itu, rakan mangsa, Ahmad Haikal Zaaba, 19, tidak menafikan masih dihantui kekesalan atas apa yang berlaku, namun perlu reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Siapa tak sedih. Baru sekejap kami dapat bergurau, berkelah dan bergambar bersama selepas lama tidak bertemu, sekelip mata pula kami kehilangan tiga sahabat sekali gus.

“Kami sudah lama tak berjumpa, sebab itu kami rancang pertemuan di pantai. Namun tak sangka kegembiraan kami bertukar duka dengan kehilangan mereka.

“Lebih memilukan apabila melihat ibu bapa dan ahli keluarga yang masih terkejut dengan kejadian ini. Malah, saya masih bersedih dan tidak dapat tidur malam mengenangkan tiga sahabat yang pergi meninggalkan kami,” katanya.

Apapun Ahmad Haikal berkata, mereka bersyukur ketiga-tiga mangsa ditemui, walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Katanya, dia dan rakan lain yang masih trauma dengan tragedi itu tidak mampu memandang ke arah laut.

“Kami tidak mahu mandi laut lagi. Mereka lemas di depan mata saya. Mana mungkin saya boleh lupakan. Saya dan rakan trauma untuk mandi laut lagi,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa lemas terakhir ditemui

[UPDATE] Alhamdulillah dah jumpa lagi seorang

[UPDATE] Arwah patut lapor diri di Kem SUKMA

'Tiba-tiba air pasang'

[UPDATE] Dah jumpa seorang, cari lagi dua

[UPDATE] Ya Allah, semoga anakku selamat...

[UPDATE] Terkilan gagal selamat rakan

Tiga sahabat hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 8:50 PM