POLIS melakukan siasatan berikutan penemuan dua mayat lelaki di sebuah rumah kedai di Jalan Argyll, Georgetown, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Siti Sofia Md Nasir


DUA penjaga tempat letak kereta ditemui mati di dalam bilik sewa mereka di tingkat dua sebuah rumah kedai di Jalan Argyll, Georgetown, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Sarbudeen Shikander, 72, dan rakan lelakinya yang juga warga India berusia 44 tahun, ditemui terbaring berlumuran darah dipercayai ditetak dengan senjata tajam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, pihak polis menerima panggilan jam 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan dua mayat terbabit.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian polis menahan dua lelaki warga Myanmar yang ditemui berhampiran kedua-dua mayat itu.

“Seorang suspek warga Myanmar ditemui dalam keadaan mabuk, dengan baju berlumuran darah serta tiada dokumen pengenalan diri, manakala seorang lagi adalah rakan sebilik mangsa.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif sebenar kejadian,” katanya.


SUSPEK warga Myanmar (tengah) ditahan untuk siasatan. FOTO Ihsan PDRM

Katanya, kedua-dua suspek lelaki berusia 28 dan 52 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 11:19 PM