LEE. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

KERAJAAN disaran mewajibkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan peranti pengapungan peribadi (PFD) di lokasi berisiko tinggi berlaku lemas.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu mewajibkan setiap bot pelancong memiliki PFD.

“PFD tidak semestinya mahal dan negara tertentu sudah menggunakan alat berkenaan yang berkesan, murah serta tidak mudah rosak.

“Malah, ia juga boleh dibuat dengan mengitar semula bekas air plastik terbuang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden membabitkan tiga pelajar lemas di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, Terengganu, 23 Ogos lalu.

“Amat malang sekali kes lemas masih berlaku walaupun MKAA sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk berada dalam keadaan bersiap sedia di semua kawasan berisiko tinggi semasa cuti sekolah,” katanya.

Lee berkata, PBT juga perlu menggunakan papan tanda keselamatan seragam yang dibangunkan oleh Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) dikenali sebagai ISO 20712-1: 2008.

“Papan tanda amaran perlu dipasang di lokasi strategik untuk mengingatkan orang ramai mengenai bahaya lemas di kawasan berisiko tinggi.

“Selain itu, papan tanda rosak atau menjadi ‘mangsa’ vandalisme perlu diganti dengan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui JBPM sudah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas.

“Lokasi itu termasuk Sungai Kampung Batu Payung di Sabah; Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Chiling, Sungai Gasi, Air Terjun Sungai Sendat dan Empangan Semenyih di Selangor.

“Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Muara Tok Bali di Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang serta Teluk Bahang di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menjadikan pencegahan lemas sebagai sebahagian daripada budaya mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 3:41 PM