LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai pengasuh kepada Ummar Zayyan direman selama seminggu bagi membantu siasatan selepas bayi berkenaan ditemui koma di rumahnya pada Isnin lalu.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


BAYI lelaki berusia empat bulan yang mengalami pendarahan otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau, Seremban, Isnin lalu, kini menunjukkan perkembangan positif.

Walaupun Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz belum sedarkan diri dan masih bergantung kepada mesin bantuan pernafasan, dia tidak lagi kerap mengalami sawan berbanding sebelum ini.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, berkata sejak menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, enam hari lalu, anaknya kerap mengalami sawan iaitu sekurang-kurangnya sekali setiap dua jam.

“Namun sejak dua hari lalu, saya mendapati dia tidak lagi mengalami sawan mungkin kerana kesan daripada ubat diberikan doktor.

“Selain itu, saya mendapati anak mampu menunjukkan reaksi jika saya atau suami memegangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ummar Zayyan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, Isnin lalu.

Zura Emilia menghantar bayinya ke rumah pengasuh yang dikenali melalui laman Facebook (FB) itu kira-kira seminggu sebelum kejadian berkenaan.

Kejadian itu menjadi tular di FB apabila seorang lelaki mendakwa doktor turut menemui kesan lebam pada perut serta paha bayi berkenaan dan banyak pihak menyalahkan pengasuh terbabit yang disyaki menderanya.

Semalam, pengasuh wanita berusia 23 tahun itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Zura Emilia yang juga seorang jururawat di HTJ berkata, dia amat berharap anak tunggalnya itu sedar daripada koma dan pulih seperti sedia kala.

Katanya, buat masa sekarang, dia serta suami tidak mahu menyalahkan sesiapa dan menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pengasuh Ummar Zayyan direman

[UPDATE] Pengasuh bayi koma ditahan

'Kenapa bayi kami koma?'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 4:10 PM