ANGGOTA polis memeriksa lokasi pergaduhan yang mengakibatkan kematian seorang lelaki warga emas di bangunan Foo Yet Kai, Jalan Sultan Iskandar, Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.
Muhammad Apendy Issahak


PERSELISIHAN faham antara dua jiran sejak kira-kira lapan tahun lalu berakhir dengan kematian selepas berlaku pergaduhan di kawasan kediaman mereka di bangunan Foo Yet Kai, Jalan Sultan Iskandar, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri susulan pergaduhan antara mangsa dengan jirannya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada 10.30 pagi.

Mangsa, Choor Por, 74, dikatakan bergaduh dengan seorang jirannya berusia 51 tahun dan mangsa dipercayai dicekik serta dipukul menggunakan besi pembuka tayar sebelum tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata selepas menerima maklumat mengenai kematian warga emas terbabit, pihaknya ke lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku di tempat letak kereta bangunan empat tingkat berkenaan.

“Mangsa bersama isteri serta dua anaknya bergaduh dengan suspek yang datang ke kediaman bekas isterinya di situ untuk mengambil dan menghantar anaknya ke stesen bas.

“Pergaduhan dikatakan berpunca daripada tindakan isteri mangsa mengambil gambar suspek (menggunakan telefon bimbit) hingga suspek berang dan berlaku pertikaman lidah sebelum suspek dipercayai mengeluarkan besi pembuka tayar.

“Dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa bersama anak lelakinya dengan suspek sebelum mangsa rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Ali berkata, pergelutan itu mengakibatkan anak lelaki mangsa cedera di kepala serta suspek turut cedera di beberapa anggota badan dan dirawat di hospital sama.

Beliau berkata, susulan kematian lelaki warga emas itu dan selepas pemeriksaan awal mendapati dua kesan luka di kepalanya, polis kini menahan suspek di hospital dan masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis turut merampas besi pembuka tayar yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

“Semakan mendapati bekas isteri suspek yang menetap di tingkat tiga kediaman berkenaan sebelum ini membuat beberapa laporan polis terhadap keluarga mangsa yang tinggal di tingkat empat bangunan sama kerana sering mengganggunya termasuk menyemburnya dengan racun serangga.

“Polis akan menyiasat daripada pelbagai aspek bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan akan mengambil keterangan saksi kejadian serta jiran di kediaman berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 4:38 PM