ROHAIMI (dua kiri) memeriksa barangan yang dirampas di pusat judi loteri haram. FOTO Mikail Ong
ROHAIMI (dua kiri) memeriksa barangan yang dirampas di pusat judi loteri haram. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA polis memeriksa kertas pertaruhan loteri haram dalam serbuan di Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA polis memeriksa kertas pertaruhan loteri haram dalam serbuan di Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong
Mohamed Basyir


POLIS menyerbu 15 lokasi premis loteri haram dan merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai berjumlah RM28,000 di beberapa lokasi di Georgetown, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, Ops Dadu yang dijalankan itu hasil maklumat orang awam yang melaporkan mengenai kegiatan tidak bermoral berkenaan kepada polis.

Beliau berkata, polis juga menahan 26 individu termasuk 24 daripadanya adalah pekerja, penjaga premis dan pelanggan.

“Kami sudah melakukan banyak serbuan, namun kali ini ia pertama kali dilakukan dalam skala besar khusus untuk melumpuhkan sindiket judi loteri haram.

“Sistem yang digunakan oleh pengusaha judi loteri haram ini agak canggih dengan membabitkan negara luar termasuk di Thailand dan Kemboja, namun pertaruhan dan tuntutan hadiahnya dibuat di sini,” katanya selepas pada sidang media di Jalan Perak sejurus operasi itu.

Beliau berkata, sistem yang digunakan juga sudah berubah apabila semua pemain akan datang sendiri ke premis, tanpa menggunakan ‘orang tengah’.

Menurutnya, pelanggan akan membuat pertaruhan sehingga dua kali sehari pada jam 3 petang dan 9 malam, berbeza dengan syarikat pertaruhan berlesen yang hanya membuat cabutan pada hari dan masa tertentu.

Katanya, tiada perjudian atas talian berlesen dibenarkan beroperasi di negara ini.

“Kita tidak mempunyai sistem perjudian atas talian di negara ini, jadi mereka licik dengan beroperasi menggunakan laman web dari Thailand dan Kemboja.

“Mereka boleh bertaruh serendah RM1 sehingga jumlah maksimum yang diinginkan. Secara purata setiap premis membuat pertaruhan sehingga RM10,000 sehari,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis juga cuba melindungi aktiviti mereka dengan beroperasi sebagai kedai pakaian dan barangan harian.

“Susulan operasi hari ini, polis Pulau Pinang akan meneruskan siasatan dan menahan individu lain yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 8:39 PM