Nur Saliawati Salberi


“AYAH dan ibu dah balik.” Hanya itu yang dapat diluahkan oleh kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun apabila ditemui bersendirian berhampiran premis ikan bakar di Alai, Melaka, semalam.

Kanak-kanak itu ditemui seorang peniaga kedai permainan jam 9.30 malam, sebelum menyerahkannya kepada pemilik kedai ikan bakar untuk mencari ibu bapanya yang terpisah.

Kisah kanak-kanak itu menjadi bualan netizen selepas tular di laman sosial apabila seorang pengguna Twitter memuat naik kejadian dengan keterangan 'Gempar!!!! Dah kenyang makan ikan bakar, keluarga terlupa anak yang tertinggal ‘ketiduran’ atas meja!!!!!

Pemilik kedai ikan bakar berkenaan, Irsyad Hadi Zainal, 32, berkata melihat kanak-kanak hampir menangis, dia bertindak mendukungnya sambil cuba mencari ahli keluarganya di setiap meja di kedainya.

“Disebabkan ramai pelanggan, saya tidak tahu ibu bapa kanak-kanak itu sehinggalah akhirnya dia tertidur akibat keletihan.

“Saya hampir membuat laporan polis kerana tiada siapa datang mengambilnya sebelum menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai bapa kanak-kanak itu selepas hampir dua jam,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Irsyad Hadi berkata, sebelum kejadian ibu bapa kanak-kanak dipercayai dari Kuala Lumpur itu menjamu hidangan makanan laut di kedainya bersama kira-kira 30 ahli keluarga.

Dakwanya, kira-kira jam 12 tengah malam bapa kanak-kanak berusia 39 tahun itu akhirnya datang dan mengambil anaknya.

“Kanak-kanak itu selamat diserahkan kepada bapanya dan saya turut mengambil nombor kad pengenalannya sebagai langkah berjaga-jaga bimbang berlaku sesuatu kerana ketika dia datang anaknya sudah tidur.

“Sejak 18 tahun berniaga, ia kali pertama saya berdepan dengan situasi ini. Tidak sangka ia menjadi perhatian selepas ada pelanggan yang menularkan di laman sosial. Bukan niat saya untuk mensensasikan hal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 10:54 PM