X
Ifwan Tun Tuah


POLIS akan memanggil dan merekodkan keterangan jiran pengasuh bayi lelaki berusia empat bulan yang kritikal akibat pendarahan otak dan mata selepas tidak sedarkan diri, Isnin lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, keterangan jiran yang tinggal berhampiran kediaman pengasuh itu di Mambau, dekat Seremban, penting untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita sudah selesai mengambil keterangan ibu dan bapa bayi terbabit dan akan memanggil jiran pengasuhnya dalam masa terdekat. Kita mahu tahu jika mereka mendengar atau mengetahui sebarang insiden mencurigakan.

"Selain itu, tumpuan siasatan ketika ini adalah untuk menentukan apa yang berlaku kepada bayi terbabit berpunca daripada diketuk, terjatuh atau perkara lain. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bayi lelaki, Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz, kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di sini, Isnin lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, dilaporkan berkata, anak tunggalnya yang kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di sini, mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui Facebook kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

Kelmarin, pengasuh berusia 23 tahun itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

[UPDATE] Sawan bayi koma berkurangan

[UPDATE] Pengasuh Ummar Zayyan direman

[UPDATE] Pengasuh bayi koma ditahan

'Kenapa bayi kami koma?'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 1:16 PM