Sarah Zulkifli


PELAKON Datuk Farid Kamil Zahari tidak hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini bagi sebutan semula kes lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya kerana menjalani pembedahan lutut.

Terdahulu, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili pelakon itu memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya akan menjalani pembedahan berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, hari ini.

Bagaimanapun, surat laporan perubatan atau sijil cuti sakit pelakon filem J Revolusi itu tidak dikemukakan Faizul kepada pihak mahkamah dalam prosiding berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Firdaous Mohamad Idris kemudian memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Farid Kamil jika laporan perubatan dan sijil cuti sakit gagal dikemukakan.

Bagaimanapun, Majistret Nor Ariffin Hisham tidak membenarkan permohonan pendakwaan berhubung waran tangkap dan menetapkan 7 September depan bagi sebutan semula kes dihadapi pelakon itu.

Nor Ariffin berkata, sepatutnya tiada keistimewaan yang diberikan terhadap tertuduh dan Farid Kamil sepatutnya mengemukakan laporan perubatan dan sijil sakit sepertimana yang lain sekiranya tidak dapat hadir.

Dalam prosiding sama, Faizul turut memohon waran tangkap tidak dikeluarkan terhadap anak guamnya atas alasan dia sendiri memaklumkan kepada pihak mahkamah mengenai ketidakhadiran anak guamnya.

"Saya mohon pihak mahkamah memberikan peluang kepada anak guam saya untuk menyerahkan sijil sakitnya. Namun jika gagal, terpulanglah pada budi bicara mahkamah," katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan lima hari bermula 27 November hingga 14 Disember depan bagi perbicaraan kes dihadapi pelakon itu dengan sekurang-kurangnya tujuh saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, 1.20 tengah hari, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 4.30 petang, tarikh sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dekat sini kira-kira jam 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 6:49 PM
FAIZUL mewakili Farid Kamil ketika sidang media selepas sebutan semula di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias