Mohamed Basyir


POLIS menahan tujuh anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas 427,600 biji pil kuda bernilai RM8.55 juta dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang sejak 19 hingga 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata, semua suspek termasuk tiga pelajar kolej berusia 19 hingga 36 tahun itu dicekup polis hasil maklumat awam dan risikan sejak minggu lalu.

Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan lima lelaki selepas dilihat mencurigakan di Jalan Bagan Luar, Butterworth.

“Dalam operasi itu, polis menahan sebuah kereta Proton Wira dinaiki lima lelaki di Jalan Bagan Luar, Butterworth jam 4.30 pagi dan hasil pemeriksaan menemui 1,600 biji pil wy dalam kenderaan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis menyerbu sebuah apartmen di Bukit Mertajam jam 8 pagi pada Jumaat lalu dan merampas 72,000 biji pil wy yang disimpan di rumah sewa milik seorang daripada lima lelaki yang ditahan berkenaan.

“Rumah itu diduduki seorang pondan yang tidak bekerja dengan kadar sewa RM1,200 dan menjadikan apartmen berkenaan sebagai stor menyimpan semua pil kuda terbabit,” katanya.

Menurutnya, susulan itu polis menahan dua lagi lelaki di Bandar Perai Jaya dan Taman Kota Permai pada hari sama sekali gus menyerbu sebuah stor jam 7.20 malam sebelum merampas 354,000 lagi biji pil wy.

Katanya, tujuh lelaki yang juga anggota sindiket pengedaran dadah itu dipercayai membawa masuk semua pil wy berkenaan dari negara jiran dan menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit sebelum menghantar ke beberapa negeri lain.

“Kami percaya mereka menjadikan negeri ini sebagai tempat transit sebab itu pil-pil berkenaan disimpan di stor, dipercayai untuk dihantar ke tempat lain kerana Pulau Pinang bukan pasaran sebenar pasaran pil kuda itu,” katanya.


PIL kuda yang dirampas dalam serbuan di tiga lokasi dari 19 hingga 24 Ogos lalu. FOTO Danial Saad

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dalang utama sindiket berkenaan dan mereka dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

“Lima lelaki pertama yang ditahan itu direman sehingga 31 Ogos ini manakala dua lagi direman sehingga 2 September ini.

“Tiga daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahagia 1952,” katanya.

Sementara itu, kes bunuh membabitkan tiga lelaki dalam dua kejadian berasingan malam Sabtu lalu dianggap selesai.

“Bagi kes pertama di mana seorang warga Myanmar menikam dua lelaki sehingga mati di Jalan Agryl, polis masih menyiasat motif kejadian dan hasil soal siasatan awal, suspek mengaku tidak menyedari tindakannya kerana khayal dadah.

“Bagi kes kedua membabitkan pasangan warga Thailand, wanita berkenaan mengaku membunuh suaminya dengan menikam lelaki itu sehingga mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 8:05 PM
THAIVEEGAN (empat kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian pil kuda bernilai RM 8.55 juta yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Danial Saad